Qudwah
Hasanah ARTINYA Tauladan yang baik. Tauladan yang baik inilah yang didambakan
umat saat ini. Seseorang yang dapat memberikan contoh dan suri tauladan. Umat
selama ini kecewa terhadap perangai pemimpinnya yang tak memberikan
tauladan, untuk itu ada baiknya kita
simak Fatwa Majelis Ugama Singapura sebagai berikut
Qudwah
Hasanah. Dalam istilah masa kini, ia boleh disamakan dengan kepimpinan melalui
teladan. Seorang pemimpin Islam, tidak harus hanya berbicara mengenai
keunggulan Islam, tetapi mesti mampu menunjukkannya dengan contoh-contoh dalam
kehidupan hariannya.
“Wahai orang-orang yang
beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ?. Amat besar
kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu
kerjakan”. (As-Shaf: 2-3) .
Dalam
arti yang lebih meluas, qudwah hasanah menuntut seseorang, pimpinan, agar
menjadikan dirinya teladan dalam kehidupan sehariannya seruan-seruan kebaikan
yang dia laung-laungkan. Dia harus bartindak sebaik kebaikan yang
dianjurkannya, bukan sebaliknya. Jika dia menyeru dibasmi korupsi, dia sendiri
mesti bersih dari segala unsur korupsi. Jika dia menganjurkan peningkatan ilmu,
dirinya mesti menjadi teladan sebagai seorang pencinta ilmu. Jika dia memanggil
kepada kemuliaan akhlak, peribadinya sendiri adalah gambaran akhlak mulia.
Nabi
Muhammad s.a.w. ialah contoh terbaik bagi qudwah hasanah. Apabila isterinya
Aesha ditanya mengenai akhlak Nabi, beliau menjawab: “Akhlak Nabi ialah
Al-Quran!”
Maksudnya,
keperibadian Nabi, sifat dan sikap baginda, cara baginda berfikir dan bartindak,
kehidupannya, semangat dan perjuangannya – semuanya berupa natijah yang tumbuh
dari asuhan Al-Quran. Apa yang baginda lakukan adalah melaksanakan anjuran
Al-Quran. Apa yang baginda tinggalkan adalah apa yang dilarang Al-Quran.
Baginda menyampaikan Al-Quran, dan dirinya sendiri menghayati semangat dan isi
Al-Quran. Nilai-nilai abadi yang tumbuh dalam dirinya adalah hasil asuhan
Al-Quran. Jadilah baginda seolah-olah Al-Quran yang hidup. Itulah yang
dimaksudkan Aesha bahawa akhlak Nabi Muhammad s.a.w. ialah Al-Quran.
Sebagai
pemimpin, baginda berada di barisan hadapan dalam menegakkan kebenaran dan
dalam menghadapi perjuangannya. Baginda
menolak tawaran kemewahan dan kesenangan hidup, dan bersedia menghadapi
pelbagai risiko demi menegakkan kebenaran.
Meskipun
seorang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), Baginda amat meninggikan
kedudukan ilmu. Di akhir Perang Badar, baginda menawarkan keampunan dan
kebebasan kepada setiap tawanan perang yang sempurna mengajarkan bacatulis
kepada 10 kanak-kanak di Madinah. Kata baginda,
Artinya: “Kelebihan orang berilmu daripada orang abid (yang banyak
ibadahnya), adalah separti kelebihanku daripada orang yang paling rendah dari
kamu.” (Riwayat Tirmidzi dari Abi Umamah).
Baginda
juga paling unggul dalam memberi makna kepada prinsip persamaan dan
persaudaraan. Status seorang hamba separti Zaid bin Harithah, diangkat dengan
mengistiharkannya sebagai kerabat Baginda, keturunan bangsawan
Quraisy. Ketika sebahagian sahabat masih taksub kepada sentimen kebangsaan
Arab, Baginda mengistiharkan Salman dari Farsi sebagai kerabatnya, dan
sekaligus melunturkan sentimen sempit tersebut.
Qudwah
hasanah juga berlaku dalam kepimpinan para Sahabat.
Sebagai
Khalifah, Abu Bakar, yang telah menghabiskan hampir seluruh hartanya membantu
perjuangan Islam, terus hidup sederhana, dan tidak punya istana.
Umar
bin Khattab, yang dengan kehebatan kepimpinannya membolehkan Islam berkembang
ke Syria, Iraq dan Mesir, terus dengan amalan
hariannya yang sederhana baik dari pakaiannya ataupun makanannya. Ketika
jazirah Arab dilanda kebuluran, Umar langsung tidak makan daging, minyak sapi,
ikan atau makanan lazat, sambil tidak putus-putusnya berdoa, “Ya, Allah! Jangan
Engkau hancurkan umat Muhammad dengan dosa-dosaku.” Sifat sederhana itulah yang
membolehkan beliau melihat dan merasakan sendiri masalah dan kesulitan rakyat,
kemudian mengambil langkah-langkah memberikan bantuan yang diperlukan.
Ketika
sedang solat dan didatangi peminta sedekah, Khalifah Ali bin Abu Talib, tanpa tangguh-tangguh lagi telah memberikan
cincin perak yang dipakainya kepada
peminta sedekah tersebut. Itulah cara memberikan makna secara unggul kepada arti
kedermawanan dan kebajikan.
Demikianlah
beberapa contoh qudwah hasanah, iaitu berbuat baik bagi menghidupkan
unsur-unsur kebaikan yang dianjurkan, dan tidak bercanggah antara apa yang
diperkatakan dengan yang dikerjakan. Dengan melaksanakan dalam bentuk amali apa
yang diperkatakan, sesuatu nilai yang baik itu akan lebih mudah difaham. Dan
kesannya akan lebih mendalam. Apa yang dikata, dikota. Yang samar (abstract)
menjadi nyata (concrete). Inilah proses pembelajaran yang mudah, dan paling berhasil.
Tidak
sukar bagi semua orang memaham makna sesuatu dengan cara melihat dan meniru
sesuatu yang terang dan nyata. Faktor qudwah hasanah yang dipakai dan
dihidupkan oleh para pemimpin Islam di peringkat awal itulah yang memberikan
semangat dan isi Al-Quran menjadi mudah difaham, dihayati, dan dikembangkan
oleh generasi umat Islam yang mula-mula.
Sebaliknya, di suasana kepimpinan tidak menghidupkan qudwah
hasanah, sering timbul percanggahan antara aspirasi dengan realiti. Yang hendak
dicapai berlawanan dengan pencapaian sebenarnya. Suasana begini pasti
mengelirukan orang ramai. Orang akan keliru tentang nilai apakah yang hendak
dipegang? Kekeliruan ini menjadi hambatan kepada usaha-usaha menyemai dan
menumbuhkan unsur-unsur kebaikan dalam kehidupan masyarakat. Firman Allah
“Mengapakah kamu menyuruh
orang mengerjakan kebajikan, sedang kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal
kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu mengarti ?".
Bayangkan
kesan-kesan negatif jika berlaku keadaan berikut:
Pemimpin
yang gigih memajukan amalan demokrasi, enggan bersikap toleransi kepada
pandangan-pandangan yang tidak sehala atau serasi dengan pandangannya.
Pemimpin
yang menyeru berjimat-cermat dalam perbelanjaan agar mampu menabung untuk
membangunkan ekonomi bangsa, menyampaikan perutusannya itu di sebuah majlis
makan malam yang lumayan di sebuah hotel paling mahal.
Pemimpin
yang diberi tanggungjawab membawa perpaduan di kalangan jemaah, mengamalkan
kepimpinan yang menyebabkan wujud prasangka dan kecenderungan
berkelompok-kelompok.
Ataupun,
pemimpin yang mendorong rajin membaca, sedangkan diri mereka sendiri tidak
membaca. Mereka menyatakan Islam sangat menggalakkan ilmu sains modern,
sedangkan diri mereka sendiri tidak berusaha memahami bagaimana manusia boleh
sampai ke bulan, bagaimana berlaku empat musim di setengah-setengah tempat di
dunia, atau kurang peduli dengan kesan kejuruteraan baka dalam kehidupan umat.
Percanggahan
begini pasti menambahkan kekeliruan. Nilai-nilai manakah yang benar, mesti
diikut dan dihidupkan?
Kejahilan
merupakan satu sebab mengapa qudwah hasanah tidak terjelma pada
setengah-setengah kepimpinan. Oleh itu, sesiapa jua yang bersedia mengambil
tugas kepimpinan harus memperlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu
pengetahuan. Satu daripada usaha yang boleh dibuat ialah dengan cara banyak
membaca.
Bagaimanapun,
mempunyai ilmu pengetahuan sahaja belumlah mencukupi. Nilai-nilai kebaikan
daripada ilmu itu mestilah pula dapat diserapkan dan disebatikan dalam jiwa
sehingga mampu melahirkan tindakan-tindakan yang baik secara spontan dan
bersengaja, iaitu tanpa dipaksa-paksa dan tanpa mengira tempat, masa dan
suasana.
Mudah-mudahan
dengan kesadaran menjalani proses melatih dan membina akhlak separti ini, dunia
kepimpinan dalam masyarakat kita akan menjadi lebih kuat. Dan sesiapa jua yang
mengambil tugas kepimpinan, baik di rumah, dalam masyarakat, dan seterusnya
pada peringkat negara, akan berbuat sejajar dengan apa yang dianjurkan, iaitu
kepada menghidupkan qudwah hasanah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar